Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa golongan cauvinis sengaja membesarkan isu tanglung supaya orang bukan Melayu membenci orang Melayu.

Naib Presiden penaja Parti Putra Malaysia tidak ada masalah dengan tanglung dan pemasangan objek itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang dilakukannya baru-baru ini adalah tindakan balas hipokrasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertindak tidak adil antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu di negara ini.

“Saya bukan anti tanglung.. saya tidak ada masalah langsung dengan tanglung. Jangan cuba nak alihkan isu berkaitan tanglung, ini sama sekali bukan berkaitan dengan tanglung.

“Tanglung adalah isu yang cuba dimainkan oleh puak-puak cauvinis. Mereka cuba membesarkan fokusnya kepada isu ini supaya orang bukan Melayu marah kepada orang Melayu, sedangkan isu sebenar adalah lebih besar dari tanglung,” katanya dalam kenyataan yang dibuat melalui rakaman video hari ini.

Baru-baru ini, Parti Putra dalam surat yang ditujukan kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, memaklumkan ia menerima aduan ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan berlebihan Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan.

Dalam surat itu, Putra dilaporkan berkata, tindakan sekolah berkenaan adalah bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa merasakan hiasan itu ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam.

Berikutan surat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama sekurang-kurang tujuh menteri dan timbalan menteri bergegas ke sekolah itu untuk memasang tanglung.

Mohd Khairul Azam mendakwa, isu lebih besar diperjuangkannya ialah orang Melayu dikatakan majoriti di negara ini telah ditindas dan dibuli golongan minoriti yang sekarang ini mendapat kuasa dan menjadi majoriti dalam kabinet.

Tegas beliau, golongan minoriti ini juga mempunyai kuasa terhadap badan penguatkuasaan dalam negara ini dan sedang menindas orang Melayu serta orang Islam.

“Terkini, golongan cauvinis ini cuba hendak menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula.

“Selepas timbul isu tanglung yang sengaja dibesar-besarkan mereka, saya digelar “bodoh”.

“Saya nak beritahu kamu semua, saya sama sekali tidak akan memberi respon terhadap gelaran “bodoh” dan apa saja gelaran berkaitan dengan tanglung ini kerana ini bukan isu tanglung,” ujarnya.

Beliau berkata, parti Putra memperjuangkan isu yang lebih besar iaitu berkaitan dengan Kedaulatan Melayu, kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan.

Katanya, fokus beliau adalah jelas, iaitu akan terus memperjuangkan isu Melayu dan Islam sebagaimana terjamin dalam Perlembagaan.

“Saya akan teruskan usaha untuk menutup sekolah cauvinis dan sekolah vernakular yang bertentangan dengan Perlembagaan.

“Saya akan cabar kewarganegaraan golongan ini dan akan pastikan mereka semua mengikut undang-undang dan perlembagaan seperti patuh kepada bahasa Melayu dan bahasa Kebangsaan.

“Ini adalah perjuangan orang Melayu yang akan saya bawa melalui banyak medium termasuk parti Putra,” katanya.

Mohd Khairul Azam sekali lagi menjelaskan, mesej yang beliau hendak sampaikan ialah sikap hipokrasi golongan cauvinis, bukan tanglung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast