KUALA LUMPUR – Siri popular kanak-kanak, ‘Didi & Friends’ diumumkan sebagai pemenang kategori ‘Program Prasekolah Terbaik’ di Asian Television Awards ke-24 yang berlangsung di Manila, Filipina baru-baru ini.

Program muzikal berbentuk ‘edutainment’ ini mengalahkan pencalonan lain dari negara China (‘Fashion Kids’ dan ‘Flying Fairground’), Jepun (‘Shimajirō no Wow!’) dan program terbitan produksi yang sama (Digital Durian), ‘Omar & Hana’ yang merupakan sebuah siri animasi Islamik popular.

Naib Presiden GenNext & Perniagaan Antarabangsa Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, Astro sentiasa komited dalam menyajikan pelbagai kandungan menarik yang bersifat
santai, berinformasi dan kreatif untuk penonton generasi muda khususnya.

Menerusi kemenangan ‘Didi & Friends’, sebuah siri terbitan Digital Durian dengan kerjasama Astro ini, ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai salah satu penerbit kandungan utama di Asia.

“Kami berharap kemenangan ini memberi inspirasi kepada pemain industri untuk sama-sama berusaha menyediakan hasil kerja terbaik bagi membantu membentuk satu ekosistem selamat untuk tontonan kanak-kanak.

“Ia juga membuktikan hiburan seumpama ini seimbang daripada aspek pembelajaran dan keseronokan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast