Ketua Pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain.

KIMANIS – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) membidas Barisan Nasional (BN) yang didakwa memainkan isu berbaur fitnah serta perkauman sebagai bahan kempen mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata perkara itu tidak wajar berlaku kerana ia tidak selari dengan budaya masyarakat Sabah, termasuk di kawasan Parlimen Kimanis.

“Masyarakat Sabah hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama dengan saling menghormati antara satu sama lain, selain kebersamaan diperkukuhkan manakala perbezaan diraikan.

Malangnya, keharmonian yang dikecapi diganggu gugat dengan kempen BN yang bersifat ekstrim, memfitnah dan berbaur perkauman pada PRK Kimanis ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Parti Warisan Sabah (Warisan) di sini, hari ini.

Hasnul Zulkarnain turut menyelar tindakan pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menggambarkan parti Warisan sebagai “Filipina” dan bukannya sebagai sebuah parti tempatan.

“Perkara itu satu penghinaan keterlaluan yang menghina sebuah parti tempatan yang diangkat menjadi sebuah kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain berkata BN seolah-olah seperti kehabisan modal berkempen apabila sering memainkan isu seperti Pas Sementara Sabah (PSS) walaupun perkara itu sudah dijelaskan banyak kali oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, beliau berkata Pemuda Amanah akan terus membantu calon Warisan Datuk Karim Bujang berkempen bagi memastikan kemenangannya pada PRK Kimanis, Sabtu ini.

PRK Kimanis menyaksikan satu lawan satu antara Karim dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast