PUTRAJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ditahan dalam serbuan polis baru-baru ini tidak bersalah sehingga beliau dijatuhkan hukuman.
Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti tersebut harus berlaku adil terhadap Adhif Syan Abdullah, yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor.
Beliau yang juga Presiden Bersatu menambah, parti itu akan membincangkan kes penahanan ADUN berkenaan dari aspek disiplin dan imej parti dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi yang akan diadakan esok.
“Itu akan bincang mesyuarat esok pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Bersatu). Secara rasmi kita akan bincang di situ.
“Memang ada garis-garis panduan dari segi soal etika dan disiplin parti tapi walau apa pun, kita mesti berlaku adil kerana seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dijatuhkan hukuman .
“Tapi dari segi imej, disiplin parti kita akan putuskan esok,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini.
Adhif Syan Abdullah yang juga Ketua Armada Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi yang dijalankan pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media berkata, 17 individu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur itu, hanya seorang yang negatif dadah.
Jabatan Kimia sedang menyaring air kencing kesemua mereka yang ditahan untuk kali kedua.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ujian air kencing kali kedua adalah prosedur biasa sebelum tindakan seterusnya diambil oleh pihak polis.
“Itu terserah kepada mereka bukan PDRM yang buat tapi Jabatan Kimia yang akan buat saringan kedua.
“ini perkara yang biasa, bukan luar biasa. PDRM akan ambil tindakan berdasarkan hasil ujian air kencing,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Dah tu kenapa kau org tepekik telolong sana sini mengatakan najib dan lain2 org dlm bn besalah sedang kan belum ada keputusan drp mana2mahkhamah menjatuhi sabarang hukuman…memang maklaun lah kau org ni.