Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat sedalam-dalamnya kes tangkapan 17 suspek dengan 16 daripadanya dipercayai di bawah pengaruh dadah dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, awal minggu ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, perkara itu perlu ekoran kes tersebut dilihat mempunyai unsur rasuah dalam bentuk hiburan memandangkan syarikat kontraktor berkenaan ada kaitan dengan pembekalan alatan sukan dan kemudahan sukan.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman wajar memberikan penjelasan terhadap isu kontrak tersebut kerana pegawai khas menteri itu sendiri turut ditangkap dalam serbuan polis.

“Penggantungan di dalam parti sahaja tidak cukup untuk menutup isu ini.

“Mesyuarat jam 4 pagi ini sebenarnya bukan sahaja membongkar kegiatan peribadi pemimpin-pemimpin muda Armada, malah, membuka mata rakyat isu kontrak di kementerian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, SPRM turut wajar memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan ekoran ia turut melibatkan salah guna kuasa.

Katanya, kesan rasuah adalah lebih besar daripada penyalahgunaan dadah dan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mahu dikenali sebagai kerajaan bebas rasuah telah tercalar imejnya dengan penangkapan pemimpin-pemimpin muda PH terbabit.

Shahir turut menyifatkan, keadaan kerajaan hari ini umpama ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast