KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penubuhan tabung pusingan bernilai RM3.9 juta bagi membantu Bumiputera membeli kediaman mampu milik di ibu kota.
Menterinya, Abdul Khalid Samad berkata, tabung tersebut bertujuan meringankan tanggungan pembeli yang sudah ditawarkan pembelian rumah mampu milik namun tidak mampu menyediakan wang pendahuluan..
Jelasnya, dana tabung itu adalah hasil kutipan denda pemaju-pemaju yang menjual unit kuota Bumiputera (kediaman atau komersial) tanpa kebenaran DBKL.
“Dan juga sumbangan sebanyak 5 peratus daripada harga unit yang diberi pelepasan untuk dijual kepada bukan Bumiputera,” katanya pada sidang media hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Kata Khalid, dana pusingan itu menyasarkan golongan B40 yang telah mendapat surat tawaran dari bank untuk membeli rumah mampu milik di ibu kota menggunakannya.
Menurut beliau, dianggarkan dana tersebut dapat membantu sekurang-kuranya 130 orang pembeli yang memerlukan bantuan pinjaman wang pendahuluan dengan andaian harga rumah yang dibeli bernilai RM300,000 seunit.
“Kita andaikan begitu, mungkin ada yang beli rumah RM150,000 atau RM250,000.
“Mungkin juga terdapat pembeli yang sudah mempunyai separuh bayaran pendahuluan dan memerlukan sedikit sahaja lagi dana untuk bayar deposit,” tambahnya.
Meskipun perlu membayar semula pinjaman tabung itu dalam tempoh 10 tahun, Khalid berkata, tiada faedah bakal dikenakan.
Dalam pada itu, Khalid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membolehkan DBKL mewujudkan 229 peluang pekerjaan secara sambilan harian tahun ini.
Katanya, ini susulan jangkaan Kuala Lumpur akan menerima pengunjung yang lebih ramai berikutan penganjuran beberapa festival iaitu Tahun Melawat Malaysia 2020, KL Kota Buku Dunia dan Sidang Kemuncak Apec.
Semua pengambilan itu akan melibatkan kos sebanyak RM4.3 juta manakala baki RM5.7 juta akan dibelanjakan untuk menyediakan peluang pekerjaan lain dari semasa ke semasa.
“DBKL telah merancang untuk membuat pengambilan seramai 229 pegawai dan kakitangan baru berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH) secara temuduga terbuka (walk in) di pelbagai peringkat jawatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette