Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya antara MRT Corp dan MMC-Gamuda JV oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Abdul Yazid Kassim (tiga kiri), Timbalan Pengarah Urusan MMC Gamuda, Datuk Ir Paul Ha Tiing Tai (tiga kanan) dan diiringi Pengarah Projek Laluan SSP Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma'aris (kiri), Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kanan) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Stesen MRT Bandar Malaysia hanya akan dibina sekiranya ada kapasiti dan permintaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, beliau mahu melihat progres pembangunan Bandar Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Kita akan buat keputusan kemudian.

“Saya mahu melihat progres pembangunan projek ini terlebih dahulu kerana jika dilakukan dengan terlalu pantas tetapi tidak mempunyai volum dan kapasiti (pengguna MRT), kita akan rugi.

“Kita juga perlu membuat pertimbangan dari segi permintaan dan fasa-fasa pembangunan Bandar Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan MRT 2 di antara MRT Corp dan MMC Gamuda Bhd. di sini hari ini.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Abdul Yazid Kassim manakala MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) diwakili Pengarah Syarikat, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan Datuk Ir Paul Ha.

Yang turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Perjanjian tersebut adalah untuk membolehkan perubahan dilakukan ke atas Perjanjian Rakan Pelaksana Projek asal yang telah ditandatangani pada 2015 oleh kedua-dua pihak.

Perubahan tersebut adalah hasil rasionalisasi kerajaan untuk projek-projek mega dan bagi projek MRT 2, kerajaan berjaya berjimat sebanyak 22.4 peratus atau RM8.8 bilion kepada RM30.53 bilion berbanding kos asal.

Tambah Guan Eng, kerangka stesen tersebut masih ada di sana cuma kerajaan katanya, perlu memastikan projek Bandar Malaysia berjaya terlebih dahulu.

“Tidak masuk akal jika mahu membina stesen MRT jika tidak mempunyai kapasiti, biar mereka (Bandar Malaysia) memiliki kapasiti dan volum terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, kerja-kerja pembinaan MRT2 yang melibatkan jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya telah 70 peratus siap.

Kerja-kerja utama dijangka siap pada 2022 dan dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2023.

Fasa pertama MRT 2 yang beroperasi dari stesen Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu akan beroperasi pada Julai 2021.

Fasa kedua pula akan melibatkan sambungan dari stesen Kampung Batu ke stesen Putrajaya Sentral yang dijangka beroperasi menjelang Januari 2023.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast