Datuk Mohamad Alamin
Calon BN, Datuk Mohamad Alamin pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pusat Komersil Kimanis, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2020

KIMANIS – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin mengingatkan para pengundi Parlimen Kimanis agar keluar mengundi lebih awal khususnya di sebelah pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi esok.

Anak kelahiran Kampung Kelatuan, Batu Enam itu juga merayu agar pengundi membuat pilihan terbaik dan membuat penilaian berdasarkan tempoh berkempen sepanjang 14 hari lalu khususnya kempen dari rumah ke rumah.

“Saya merayu kepada pengundi-pengundi di seluruh Parlimen P176 Kimanis, ayuh sama-sama dengan saya dengan perjuangan BN, kita terjemahkan segala kerja kuat kita selama 14 hari ataupun sebelum itu, terjemahkan dengan kemenangan esok.

“Turun awal, jangan lewat, kita tahu cuaca hujan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kabang hari ini.

Hari ini merupakan kempen terakhir bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Kimanis dan esok merupakan hari pengundian bagi 29,618 pengundi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 19 pusat mengundi, membabitkan 68 saluran akan dibuka bagi PRK Parlimen Kimanis kali ini.

Seramai 650 petugas SPR akan ditempatkan di semua 68 saluran bagi memastikan proses pengundian esok berjalan lancar.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan menjangkakan BN berpeluang mempertahankan kubu kuat parti itu daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Alhamdulillah sangat positif kita sangat optimis mudah-mudahan (menang),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast