ISTANBUL – Imej kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan dua lelaki yang didakwa membantu ahli perniagaan dalam buruan, Carlos Ghosn mealrikan diri dari Jepun ke Beirut.
Gambar Micheal Taylor, bekas tentera operasi khas Amerika Syarikat (AS) dan George Antoine Zayek, bekas ahli militan Kristian Lubnan dirakam kamera di lapangan terbang Istanbul ketika Ghosn bertukar pesawat dalam perjalanan ke destinasi terakhirnya.
Pendakwaraya Turki berkata, Taylor dan Zayek mengiringi bekas bos Nissan berusia 65 tahun itu dalam perjalanan peringkat pertamanya dengan menggunakan sebuah pesawat peribadi dari Osaka ke Lapangan Terbang Ataturk, sebuah lapangan terbang yang lebih kecil di ibu negara Turki, lapor Daily Mail.
Mereka mendakwa Ghosn bertukar pesawat untuk ke Beirut dengan berjalan kaki, manakala individu yang mengiringinya merentasi bandar raya untuk ke lapangan terbang utama Istanbul.
Taylor dan Zayek kemudian mendaftar masuk dan melalui pihak keselamatan yang mana imej CCTV dirakam, sebelum menaiki pesawat komersial berasingan menuju ke Beirut.
Turki telah menahan lima individu sebagai sebahagian daripada siasatan insiden itu, termasuk penahanan kakitangan syarikat pesawat persendirian yang digunakan Ghosn, MNG.
Firma itu berkata, pesawatnya telah digunakan secara haram dalam indisin melarikan diri dan ia telah menfailkan aduan jenayah. – Agensi