Dr. Azmi Sharom
Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom

KIMANIS – Penggunaan kamera video di semua 68 saluran dan 19 pusat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula hari ini tidak mengganggu proses pembuangan undi.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom, rakaman video itu juga tidak akan mengganggu kerahsiaan pilihan pengundi kerana kedudukannya kamera itu terletak di sudut bilik mengundi.

“Ia (kamera video) tidak mengganggu, dia kecil saja kan, ia terletak di satu penjuru bilik. Saya rasa ia tidak mengganggu proses pengundian, ia tak mengganggu kerahsiaan pengundian, sebab orang mengundi di hujung bilik.

“Apa yang penting ia tak mengganggu proses pengundian,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Old Lady, Kampung Kelatuan, Batu Enam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, badan itu akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari penggundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Menurutnya, penggunaan kamera itu untuk tujuan rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR menyemak semula proses pengundian dilaksanakan agar mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam pada itu, Azmi juga berkata, PRK Parlimen Kimanis merupakan pilihan raya pertama sebagai percubaan rakaman video itu.

“Ia juga sebagai satu sandaran jika berlaku masalah, ia satu eksperimen yang bagus, mungkin kita boleh cuba lagi di masa depan, setakat ini sangat baik.

“Lepas ini kita tengok hasilnya, adakah ia membantu kita jika ada pertikaian dan sebagainya, ia mungkin sangat berguna,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast