Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (empat kiri), Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (lima kanan) bergambar selepas melihat demonstrasi teknologi 5G dari dalam ambulans ketika melakukan lawatan ke projek demonstrasi 5G Malaysia di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

LANGKAWI – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menjalinkan kerjasama dengan Hospital Sultanah Maliha dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) untuk menguji ambulans berkeupayaan 5G yang pertama di Malaysia bagi membekalkan pemindahan data perubatan dalam masa nyata antara paramedik dan hospital.

Penyaluran data pesakit secara berterusan bermula dari ketibaan paramedik di tempat kejadian hingga ke fasa penghantaran pesakit ke hospital dapat meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf lebih tinggi serta memperbaiki keberhasilan rawatan kepada pesakit.

Ketua Pegawai Teknologi Digi, Kesavan Sivabalan berkata, teknologi 5G digunakan untuk memajukan bidang industri perkhidmatan penjagaan kesihatan digital.

Menurutnya, dengan adanya teknologi tersebut, data perubatan yang besar kini boleh dipindahkan pada kelajuan tinggi kepada pelbagai jenis peranti dalam situasi kecemasan.

Ini merupakan pembangunan penting yang membolehkan pemantauan dan diagnosis penjagaan kesihatan dapat dibuat pada jarak jauh.

“Ia juga bermakna perkhidmatan kesihatan kini boleh diakses oleh semua termasuk mereka yang berada di kawasan yang sukar dicapai,” katanya di sini.

Demonstrasi ujian ambulans berkeupayaan 5G itu ditunjukkan dihadapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Hospital Sultanah Malihah di sini.

Dalam demonstrasi itu, pasukan paramedik melakukan simulasi secara langsung yang menunjukkan bagaimana bacaan ECG, dan imbasan ultrabunyi diambil ketika dalam perjalanan ke hospital menerusi ambulans yang mengguna pakai teknologi 5G.

Kapasiti digital bersaiz gigabait itu kemudian dihantar dalam masa nyata kepada doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital untuk diagnosis serta persediaan yang dilakukan ke wad kecemasan.

Kesavan berkata, selain di Hospital Sultanah Madiha, Digi mempunyai satu lagi tapak ujian 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan stesen pangkalan mudah alih 5G terletak di premis hospital pada spektrum 3.4-3.5 GHz dengan jalur lebar 100MHz dan kelajuan mencecah 1.2 Gbps. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast