Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar (tiga kiri) melihat persekitaran loji pada lawatan ke tapak rintis sistem ‘Advanced Moving Bed Bio-Reactor’ di Loji Rawatan Kumbahan, Pantai Tengah, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JANUARI 2020

LANGKAWI – Teknologi ‘Advance Moving Bed Bio-Reactor’ (AMBBR) dijangka diguna pakai kepada kesemua loji pembentungan dan rawatan kumbahan di seluruh negara sekiranya projek rintis teknologi yang sedang diuji selama dua tahun berjaya.

Projek itu yang kini sedang dijalankan di Pantai Tengah, Langkawi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teknologi baharu itu dilihat lebih murah, efisien dan bersih berbanding perlaksanaan teknologi lain sebelum ini.

Tambahnya, penggunaan teknologi AMBBR amat penting bagi memastikan air kumbahan dapat dirawat dengan baik, selain mengelakkannya daripada mengalir ke laut dan pantai.

“Jika sistem itu didapati sesuai untuk digunakan, pengurusan air kumbahan di setiap loji akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus menyelesaikan banyak masalah berkaitan.

“Ini kerana kita selalu menghadapi masalah air kotor, selain loji rawatan kumbahan sedia ada memerlukan kolam besar yang menelan kos tinggi.

“Ada juga air kotor yang mengalir ke laut hingga mendatangkan masalah kebersihan pantai serta memberi kesan terhadap hidupan marin,” katanya ketika melawat ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini.

Hadir sama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Projek perintis ini dilaksanakan oleh syarikat Kyto Water Sdn Bhd dengan kos RM16.5 juta dan siap pada tahun 2018 dan kini dalam tempoh tanggungan kecacatan sebelum diserahkan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd pada bulan Jun 2020.

Dr Mahathir berkata, teknologi AMBBR itu berupaya membersihkan air kumbahan sehingga airnya menjadi jernih dan tidak endapan.

ambah beliau, Malaysia juga boleh mengeksport teknologi terbabit ke luar negara jika kaedah itu menunjukkan keberkesanan dalam tempoh ujian.

Pada sidang media yang sama, Dr Mahathir berkata, kerosakan pada paip dasar laut yang menyalurkan air mentah dari Perlis ke Langkawi menyebabkan air di pulau ini sering terganggu.

Kerosakan itu berlaku disebabkan aktiviti nelayan yang mengheret pukat di kawasan paip berkenaan.

Permasalahan yang berlaku itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanam paip ke dalam tanah dan bukan lagi di permukaan dasar laut.

Menurut beliau, kerajaan sedang mengenal pasti sumber bekalan baharu air di Langkawi terutama daripada sumber air bawah tanah bagi mengelakkan kebergantungan kepada saluran paip dari tanah besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast