KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 2 Mac untuk membuat keputusan terhadap permohonan dikemukakan anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin bagi penangguhan prosiding saman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya, menuntut RM37.6 juta cukai tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Mohd Nazifuddin memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di dalam kamar. Turut hadir peguam Nor Asmah Adam mewakili LHDN.
“LHDN telah memohon penghakiman ringkas bagi saman itu mengikut Perintah 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, tetapi hakim memutuskan untuk terlebih dahulu mendengar permohonan kami bagi penangguhan. Dan mahkamah menetapkan 2 Mac untuk membuat keputusan (permohonan penangguhan),” katanya.
Pada 11 April tahun lepas, Mohd Nazifuddin memfailkan permohonan bagi penangguhan prosiding kes itu sementara menunggu rayuannya berhubung amaun taksiran cukai tambahan yang perlu dibayarnya.
LHDN menerusi kerajaan memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lepas.
Ia mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai bagi tahun taksiran dari 2011 sehingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac, 2019.
Menurut kenyataan tuntutan, kegagalan Mohd Nazifuddin untuk membayar cukai selama tujuh tahun, yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, menyebabkan tambahan 10 peratus bayaran dikenakan.
Plaintif mendakwa defendan masih gagal membayar jumlah itu dalam tempoh 60 hari mengikut Akta itu, dan satu lagi kompaun iaitu peningkatan lima peratus dikenakan, menjadikannya berjumlah RM37,644,810.73.
Amaun itu terdiri daripada RM1,780,837.70 bagi tahun taksiran 2011; RM6,604,851.81 (2012); RM6,279,834.41 (2013); RM4,360,278.87 (2014); RM2,074,950.76 (2015); RM2,623,943.76 (2016); dan RM13,920,113.42 (2017).
Oleh itu, kerajaan memohon sejumlah RM37,644,810.73, dengan faedah lima peratus setahun dari hari penghakiman sehingga jumlah itu dibayar, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- BERNAMA