Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media di projek demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Kawalan 5G Langkawi, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

LANGKAWI – Kerajaan tidak ada masalah untuk memberi bantuan dan sokongan melalui pinjaman kepada negeri-negeri miskin untuk membangunkan teknologi keupayaan 5G bagi faedah bersama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangunan itu boleh dibiayai dengan bantuan kecil untuk menyokong segala usaha yang dijalankan.

“Sebenarnya semua perkara boleh dimulakan secara kecil-kecilan sebelum ia berkembang.

“Di Malaysia sekarang kita mahu pengagihan kekayaan dibuat secara sama rata supaya tidak ada perbezaan ketara dalam pendapatan antara bandar dengan negara,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan demonstrasi projek 5G di Ibu Pejabat Daerah Langkawi di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana teknologi 5G boleh dimanfaat kepada negeri-negeri kaya seperti Kedah.

Sehubungan itu, katanya, negeri-negeri yang kaya perlu membantu negeri-negeri miskin dan mana-mana kaum yang tidak mampu meraih kelebihan daripada teknologi 5G juga perlu diberi sokongan.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya dalam meminjamkan wang tetapi bukan memberi wang dan jika ada negeri miskin yang memerlukan sokongan itu kerajaan akan memberi pinjaman.

“Kami akan membantu memberi pinjaman wang. Tetapi jika mereka sudah mempunyai wang semula, tolong bayar balik.

“Tidak PTPTN dalam kes ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette