KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk tidak menjual pegangan terhadap konsesi Lebuhraya PLUS Berhad serta melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun perlu diteliti semula.
Ini kerana, kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) perlu merujuk kepada manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang secara khusus berjanji mahu menghapuskan kutipan tol, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Beliau berkata, ketika itu pimpinan PH menjanjikan jika mereka menang dalam PRU-14, PH akan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.
“Malangnya, berita melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun dengan kutipan tol adalah satu lagi janji yang tidak ditepati.
“Persoalannya, adakah rakyat boleh memegang janji baru PH di saat setiap janji di dalam Buku Harapan dimungkiri? Janji-janji yang ditabur seolah-olah tiada makna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahrir berkata, alasan yang sama diberikan oleh PH iaitu tetap mahu menyalahkan kerajaan terdahulu kerana masalah hutang negara.
Malangnya kata beliau, hutang negara meningkat dengan mendadak di bawah pentadbiran mereka daripada USD686 bilion kepada hampir USD1 trilion.
“Kerajaan seharusnya membiarkan tempoh konsesi sedia ada berakhir seperti dijadualkan dan boleh menyalurkan wang peruntukan kerajaan untuk tujuan pengambilalihan konsesi kepada usaha-usaha memperbaiki dan memperluaskan akses pengangkutan awam secara lebih menyeluruh.
“Secara lansung, wang peruntukan kerajaan digunakan dengan sebaiknya untuk membantu lebih besar golongan masyarakat, terutama golongan B40,” ujarnya.
Tambah beliau, DPIM melihat dasar baru tol hari ini telah memberikan lebihan kepada wang peruntukan kerajaan kerana tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.
Namun begitu katanya, rakyat terus menanggung dasar lemah PH sehingga tahun 2058 dan ia merupakan satu tempoh lama untuk rakyat terus membayar tol.
“DPIM menyeru rakyat untuk terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang terpaksa ditempuh sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh Pimpinan PH.
“Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan PH yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini.
“DPIM sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette