Mukhriz Mahathir

LANGKAWI – Kedah mahu meluaskan Kulim Hi-Tech Park kepada dua kali ganda berbanding saiz sekarang dan mahu mengulangi kejayaan ini di Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam dalam memperkaskan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, dengan perluasan Kulim Hi-Tech Park, ia bakal menyaksikan peningkatan permintaan bagi kargo antarabangsa di Kulim.

Atas alasan itu, katanya, Kedah mahu cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dilaksanakan dan beroperasi pada tahun 2024.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu, ekonomi Kedah berkembang kira-kira 4.4% atau RM45 bilion, namun banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan mata pencarian rakyat.

Lantaran itu, Mukhriz berkata, beliau teruja apabila penggunaan kes-kes 5G didemonstrasi dibuat di seluruh negara khususnya di Langkawi.

“Selain mempunyai dasar kukuh dan tenaga kerja yang mahir, saya percaya teknologi itu bersama-sama dengan kelebihan ekonomi digital berpotensi menjadi batu loncatan untuk mencapai nilai ekonomi lebih besar kepada rakyat jelata,” katanya pada majlis pelancaran projek-projek demonstrasi 5G di sini malam tadi.

Tambah beliau, teknologi 5G ini mempunyai banyak aplikasi – dari kawalan sempadan dan pengawasan, pelepasan barang, perubatan, pendidikan, dan juga dalam bidang pertanian.

Terdapat keperluan mendesak untuk mengadaptasi teknologi seperti 5G dalam industri pertanian di Kedah yang setakat ini menyumbang kira-kira 40 peratus bekalan beras kepada negara.

“Kami percaya dengan mengadaptasi teknologi moden seperti dron, hasil padi negeri ini dapat diperbaiki secara dramatik dan akhirnya meningkatkan pendapatan petani.

“Ini juga membolehkan kita mengurangkan import makanan yang melonjak kepada hampir RM60 bilion hari ini daripada RM10.5 bilion pada tahun 1998,” tambahnya sambil memaklumkan industri pertanian meraih RM60 bilion jika dapat menghasilkan sejumlah besar sayur-sayuran seperti halia , cili, bawang, bawang putih dan kubis,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.