KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal menolak akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia berhubung isu kelapa sawit dengan memberi alasan amat ‘sibuk’.

Laporan sebelum ini menyatakan Kementerian Perdagangan dan Industri India telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa telah meminda status import minyak sawit bertapis daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad.’

Agensi melaporkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking bercadang bertemu Piyush pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 namun ditolak.

Menurut jurucakap Piyush, menteri itu sangat sibuk dengan jadual yang terlampau ‘ketat’ ketika WEF di Davos-Klosters, Switzerland sehingga begitu ‘sukar’ untuk mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Darell.

Malah Reuters melaporkan terdapat wakil kerajaan Malaysia yang mendakwa ada kemungkinan Piyush dan Darell bertemu di luar WEF bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh wakil India.

India dikatakan mula mengadakan pelbagai sekatan import dan eksport ke atas Malaysia, termasuk menyekat kemasukan peralatan mikroproses dan telekomunikasi dari Malaysia.

Ia dilihat sebagai tindak balas perdagangan pertama India terhadap Malaysia berhubung pendirian politik yang dikatakan ‘mencampuri’ urusan mereka.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk terus bersuara mengenai dasar kerajaan India termasuk mengkritik pembatalan status semi-autonomi Kashmir yang merupakan antara isu sensitif antara negara itu dan Pakistan.

Dr. Mahathir juga mengkritik India yang memperkenalkan undang-undang kewarganegaraan yang dianggap anti-Islam.

India dikatakan kecewa dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang enggan mengekstradisi pendakwah, Dr Zakir Naik atas dakwaan penggubahan wang haram serta aktiviti keganasan.

Pada 2019, Malaysia mengeksport kira-kira 4.4 juta tan minyak sawit ke India.

Jumlah kuantiti eksport minyak sawit bertapis Malaysia ke India adalah kecil, kira-kira AS$300 juta setahun.

Sehubungan itu, sebarang tindakan seperti sekatan yang dikenakan terhadap pengimport minyak sawit India bagi pembelian komoditi Malaysia itu hanya memberi impak minimum kepada Malaysia, kata penganalisis.

Niaga hadapan sawit Malaysia diniagakan mendatar menyebabkannya mencatatkan penurunan mingguan tertinggi sejak 2012 apabila sekatan import India ke atas produk bertapis mempengaruhi pergerakan pasaran beberapa hari lepas.

Kontrak penanda aras sawit bagi penghantaran April di Bursa Malaysia Derivatives hampir tidak berubah pada RM2,886, paras terendahnya dalam sebulan.

Penurunan 7.9 peratus minggu ini adalah yang terbesar sejak September 2012.

India yang juga merupakan pengguna minyak masak terbesar dunia, mengehadkan import ke atas produk sawit bertapis pada minggu lalu dan secara tidak rasmi mengarahkan peniaga supaya mengelak melakukan pembelian dari Malaysia.

Langkah itu dijangka mewujudkan cabaran besar kepada Malaysia, kerana India adalah pasaran terbesarnya sejak lima tahun lalu.

Penanda aras harga sawit tidak akan meningkat di atas RM3,300 satu tan pada separuh pertama 2020 dan rali baru-baru ini menyebabkan kelebihan daya saingnya berbanding minyak masakan lain berakhir, kata penganalisis industri, James Fry.

Harga sawit mungkin jatuh ke paras RM2,818 satu tan, kerana ia melepasi sokongan RM2,911, kata penganalisis Reuters, Wang Tao. – MalaysiaGazette

India rancang adakan lebih banyak sekatan ke atas Malaysia?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast