Perjumpaan besar semasa Tahun Baru Cina tidak dibenarkan dalam menangani penularan Covid-19. Gambar hiasan

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan berkata, Malaysia sedang menerima tahun tikus pelik dengan beberapa perkara ganjil sedang berlaku di negara ini menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sifu fengshui berkata tahun ini adalah sambutan tahun tikus emas, tetapi saya merasa ia bukan tikus emas, tetapi tikus pelik,” katanya yang mendahului rencananya dengan isu tol.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) pernah menyatakan bahawa kos pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan telah dilunaskan sepenuhnya dan rakyat tidak lagi perlu membayar tol berkenaan jika PH mentadbir negara.

“PH sudah membentuk kerajaan, tetapi kadar tol tidak dihapuskan. Satu keadaan dalam jangkaan sebenarnya.

“Rancangan tahun tikus PH ialah menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus, tetapi konsesi dipanjangkan 20 tahun,” katanya.

Tay Yan juga melahirkan rasa tidak puas hati apabila seorang wartawan perempuan dikutuk kuat kerana bertanya kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin sama ada isu Lynas akan diselesaikan sebelum menteri tersebut cuti bersalin.

“Menteri menjawab bahawa memandangkan Lynas akan memohon pembaharuan lesen sebelum beliau bercuti, maka perkara itu akan dipanjangkan sendiri oleh menteri ke Kabinet untuk keputusan.

“Perkara pelik bagaimanapun timbul apabila seorang pembantu kepada seorang menteri mengkritik wartawan mendiskriminasi menteri wanita. Tentera papan kekunci turut melakukan serangan ke atas wartawan susulan perkongsian pembantu kepada menteri.

“Ini pelik kerana wartawan hanya bertanya isu Lynas dan bukannya mempertikaikan cuti bersalin.

“Pada ketika golongan berkenaan mempertahankan hak wanita, mereka juga memaki hamun wartawan wanita,” katanya sambil melahirkan rasa aneh.

Selain dua isu itu, Tian Yan turut membangkitkan isu pertukaran kenderaan rasmi kerajaan Kelantan serta tuntutan dalam PKR supaya Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatan.

“Dr. Mahathir berkata beliau sedia berundur jika PH mahu beliau berbuat demikian.

“Ini strategi yang hebat. Siapa antara pemimpin atasan dalam PH yang berani meminta Dr. Mahathir berundur?” – MalaysiaGazette