MANILA – Tentera Filipina membunuh seorang anggota kumpulan pemberontak Abu Sayyaf yang disyaki terlibat dalam penculikan lapan nelayan Indonesia di perairan Sabah, kata seorang pegawai tentera.
Sobejana berkata, beliau mengerahkan anggotanya ke kawasan di mana anggota kumpulan Abu Sayyaf mendarat selepas pihak berkuasa Malaysia memaklumkan kepada beliau tentang insiden penculikan itu.
“Kami dengan segera mengerahkan gunboat dan melakukan pengawasan udara berhampiran sempadan (Filipina-Malaysia),” kata Sobejana.
Pada pagi Sabtu lalu, pasukan tentera yang terserempak dengan anggota kumpulan Abu Sayyaf mencetuskan pertempuran. Suspek yang terbunuh dikenalpasti oleh tiga nelayan sebagai salah seorang daripada enam lelaki bersenjata yang menculik mereka.
Terdahulu, difahamkan lapan nelayan warga Indonesia yang bekerja dengan syarikat perikanan Malaysia diculik namun tiga daripada mereka kemudiannya dibebaskan.
Mereka yang dibebaskan itu membuat laporan kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai insiden tersebut.
Ketiga-tiga nelayan itu juga mengesahkan bot laju yang dilengkapi dua enjin yang musnah semasa operasi tersebut adalah bot yang digunakan dalam insiden penculikan tersebut.
Sobejana berkata, lokasi baki lima lagi nelayan diculik tidak diketahui
“Bagaimanapun terdapat kemungkinan lima mangsa telah berada di Pulau Sulare atau Parang. Kami memberi tumpuan lokasi ini pada operasi kami,” kata Sobejana.
“Kami berharap dapat menyelamatkan lima warga Indoinesia ini,” tambah beliau.
Sobejana berkata, dalam oeprasi berasingan anggotanya turut membunuh empat lelaki bersenjata di Pulau Lakit-Lakit di Sapa-Sapa, Tawi-Tawi pada malam Sabtu lalu.
Seorang anggota tentera mengalami kecederaan dalam operasi tersebut.
“Kami masih cuba untuk menentukan jika empat orang ini adalah anggota Abu Sayyaf,” katanya. – Agensi.