Pesawat A380 milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) mengikuti semua prosedur mengendalikan penumpang sebagai langkah berjaga-jaga berhadapan dengan risiko penyebaran wabak koronavirus China.

Kata syarikat penerbangan nasional itu, pihaknya mengikuti prosedur yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) khususnya ketika berkomunikasi dengan mereka yang berpotensi dijangkiti penyakit itu.

Langkah yang diambil ujar MAS adalah melakukan pemeriksaan pra-pelepasan terhadap pelancong terutama mereka yang kurang sihat.

“Syarikat kami juga mengambil langkah kawalan tertentu untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit dalam penerbangan.

“Langkah itu termasuk pemeriksaan pra-pelepasan terhadap pelancong terutama mereka yang kurang sihat, menyediakan kit penyakit berjangkit dan ubat-ubatan dalam setiap pesawat sebagai persediaan berhadapan dengan penumpang yang sakit,” kata syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan.

Kementerian Kesihatan dilaporkan meningkatkan langkah pencegahan, terutama di pintu masuk berikutan penyebaran wabak radang paru-paru (pneumonia) di Wuhan, China.,

Sebelum ini, media melaporkan satu virus baharu daripada kumpulan virus sama yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dikesan tersebar di luar sempadan China kemudian satu lagi di Thailand pada minggu lalu.

Semalam kementerian Kesihatan berkata, pasukan bertindak Malaysia yang ditempatkan di semua pintu masuk antarabangsa dan kemudahan kesihatan di seluruh negara terutama Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan berlakunya wabak coronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya berkata, alat imbasan haba dan pusat kuarantin kesihatan di terminal KLIA kini diletakkan pada pemantauan tahap yang tertinggi. – MalaysiaGazette