KIEV – Ukraine menggesa Iran untuk memulangkan kotak hitam milik pesawatnya yang ditembak mati oleh tentera Tehran yang mengorbankan 176 orang penumpang dan anak kapal.
Menteri Luarnya, Vadym Prystaiko berkata, pemulangan kotak hitam itu akan menunjukkan Iran komited dan tidak bias dalam siasatan tragedi yang berlaku pada 8 Januari itu.
Perkara itu telah dinyatakan kepada Ketua Pengangkutan dan Pembangunan Bandar Tehran, Mohammad Eslami yang melawat Kiev untuk membincangkan insiden tersebut.
“Beliau datang untuk memohon maaf dan ambil maklum tentang apa yang berlaku. Kami harap kami boleh berbincang lebih lanjut, lebih daripada perbincangan politik dan membicarakan masalah praktikal. Antara lain termasuk memulangkan semula kotak hitam,” kata Prystaiko.
Ahad lalu Iran memaklumkan negara itu sedang menganalisis kotak hitam, menafikan laporan awal yang Tehran akan memulangkan kotak tersebut kepada Ukraine.
“Pada mulanya mereka maklumkan mahu menyerahkannya, kemudian orang yang sama menyatakan mereka tidak menyerahkan. Ini menimbulkan salah faham di Ukraine dan kami mula ditanya: adakah akan diserahkan atau tidak?,” katanya lagi.
Pejabat Presiden Volodymyr Zelenskiy berkata, pakar Iran dijangka menilai kemampuan teknikal Ukraine untuk meneliti kotak hitam.
Satu kenyataan berkata, bangkai pesawat itu akan dipulangkan ke Ukraine.
“Saya berjanji kepada keluarga dan saudara-mara mangsa, saya berjanji kepada rakyat Ukraine bahawa kebenaran akan dirungkaikan. Kita mesti tahu apa yang berlaku, ” menurut kenyataan Zelenskiy. – MalaysiaGazette