KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda seperti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) seharusnya mendorong kepimpinan fokus kepada perubahan dengan membantu kepimpinan di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri.
Mereka sepatutnya tidak terpalit dengan permainan kuasa yang memualkan rakyat.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, apabila DAPSY menyatakan mengenai majoriti rakyat mahukan peralihan kuasa Perdana Menteri, pergerakan Pemuda itu perlu memeriksa adakah itu yang dimahukan majoriti penduduk negara ini.
Soalnya, sekiranya itu yang dimahukan rakyat mengapa saban hari Pakatan Harapan (PH) ditolak.
“Kerana itu DAPSY perlu lebih duduk diam!,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas tindakan lapan pemimpin DAPSY membidas Ketua Armada Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritik pemimpin PH lain dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri.
Pemimpin DAPSY turut menegur Syed Saddiq kerana menuduh sembarangan beberapa pemimpin PH terutama dari DAP dan PKR dalam isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohd Ashraf, rakyat juga marah dengan PH berikutan isu-isu bodoh perihal peralihan kuasa yang ditimbulkan oleh pemimpin gabungan parti politik itu.
“Kerana itu hentikanlah bicara soal peralihan kerana ia akan mengganggu kestabilan negara,” ujarnya sambil menambah sekiranya mereka jujur dan sayangkan negara mereka perlu menyediakan politik khidmat.
Jelasnya, pimpinan Bersatu diam dalam pelbagai desakan namun beberapa pimpinan parti komponen PH tidak henti-henti menimbulkan perkara itu.
Menurut Mohd Ashraf, pemimpin DAPSY yang mengkritik Syed Saddiq perlu sedar atas apa mereka perkatakan.
“Sejak bila kesalahan semua perlu diletakkan atas satu pihak semata samada Tun Dr. Mahathir Mohamad atau YB Syed Saddiq mahupun Bersatu?”.
Beliau mempersoalkan pemimpin terbabit yang bertanyakan kembali mengenai tarikh peralihan kuasa sedangkan Dr. Mahathir telah berkali-kali menyatakan jangkaan beliau melepaskan jawatan adalah selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada akhir tahun. – MalaysiaGazette