KUALA LUMPUR – Kumpulan perkhidmatan pengangkutan e-hailing, Grab; firma perjudian, Razer; AirAsia; syarikat telekomunikasi, Axiata dan CIMB merupakan antara syarikat yang mengkaji untuk memohon lesen perbankan digital di Malaysia, kata sumber-sumber kepada Reuters.

Beberapa syarikat itu telah mula melantik jururunding ketika mereka menerokai kemungkinan menyertai perbankan digital, kata individu yang berpengetahuan mengenai perkara tersebut.

Di Asia, pengawal selia terbuka terhadap pemain digital baharu, digalakkan oleh ledakan hubungan mudah alih dan prospek firma teknologi dengan menawarkan perkhidmatan kewangan dengan kos yang rendah.

Pada bulan ini, Singapura menerima 21 permohonan untuk lima lesen bank digital.

Pada Disember lalu, bank pusat Malaysia mengumumkan ia merancang mengeluarkan sehingga lima lesen kepada bank dalam talian baharu yang menawarkan sama ada perbankan konvensional atau Islam di bawah cadangan rangka kerja perlesenan yang akan dimuktamadkan pada penghujung Jun ini.

“Banyak institusi kewangan dan bukan kewangan sedang memperluaskan peluang pasaran dan bekerja dengan pihak luar,” kata salah seorang sumber yang enggan dikenali berikutan mereka tidak mempunyai kuasa untuk bercakap dengan media.

Malaysia berkata, ia lebih suka kepada pembida yang mempunyai ekuiti dikuasai syarikat tempatan.

Sumber itu berkata, Razer, yang mana unit berasaskan e-dagang dan teknologi kewangannya (fintech) mengetuai konsortium aplikasi Singapura, sedang berbincang dengan sebuah syarikat tempatan untuk memperolehi lesen di Malaysia.

Institusi pinjaman tempatan, Hong Leong dan Maybank juga mengkaji untuk membida lesen itu, kata sumber tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Fintech Razer, Lee Li Meng memberitahu Reuters bahawa syarikat itu mempunyai operasi meluas di Malaysia dalam ruang pembayaran digital dan akan menilai peluang perbankan digital.

Salah satu pilihan untuk Axiata ialah memohon menerusi Axiata Digital Services yang menaungi semua penerokaan digital kumpulan itu selain memiliki e-dompet, Boost.

Perkhidmatan kewangan AirAsia, Bigpay mengendalikan e-dompet yang disertai kad prabayar. – Agensi