KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus berbanding tiga peratus sebelum ini.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari itu adalah satu langkah pre-emptif bagi mengawal trajektori pertumbuhan yang semakin baik di tengah-tengah kestabilan harga.
“Pada paras OPR semasa, MPC melihat dasar monetari yang sesuai adalah dengan mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan kestabilan harga,” katanya.
BNM memberitahu, petunjuk-petunjuk terkini serta gangguan bekalan dalam sektor berkaitan komoditi boleh menyebabkan perkembangan aktiviti ekonomi Malaysia menyederhana pada suku keempat.
“Ini termasuk ketidaktentuan pelbagai rundingan perdagangan, risiko disebabkan oleh geopolitik, pertumbuhan ekonomi rakan-rakan dagang utama yang lebih lemah berbanding jangkaan, kemeruapan dalam pasaran kewangan dan faktor-faktor domestik termasuk kelembapan sektor berkaitan komoditi dan kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek,” katanya lagi.
Menurut BNM, kadar inflasi 2019 berada pada purata 0.7 peratus manakala pada tahun ini, inflasi secara puratanya dijangka lebih tinggi tetapi masih kekal sederhana.
“Trajektori inflasi masih lagi bergantung kepada perkembangan harga minyak global dan komoditi serta bilakah kerajaan akan menarik balik harga siling runcit bahan api domestik,” katanya.
Pertumbuhan ekonomi pada 2020 dijangka meningkat secara beransur-ansur dengan sokongan berterusan daripada perbelanjaan isi rumah dan prestasi eksport yang lebih baik, tambahnya.- MalaysiaGazette