Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus — kadar yang tidak pernah ditetapkan sejak 11 Mac, 2011 — telah mengejutkan pasaran, berbeza daripada jangkaan ramai bahawa sekurang-kurangnya OPR dikekalkan pada kadar semasa oleh mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertama tahun ini.

Ramai ahli ekonomi dan penganalisis sebaliknya menjangkakan pengurangan itu akan diputuskan pada Mac dengan berpandangan BNM akan menunggu pengesahan daripada data ekonomi awal 2020 sebelum memutuskan kadar faedah utama.

Pakar Ekonomi JP Morgan, Nur Raisah Rasid berkata seperti juga penurunan OPR pada 7 Mei tahun lepas, tindakan dasar hari ini adalah tidak dijangkakan memandangkan sebelum ini beberapa bentuk isyarat diberikan oleh bank pusat terlebih dahulu.

Justeru, keputusan dasar BNM hari ini adalah langkah awal untuk memastikan trajektori pertumbuhan di tengah-tengah kestabilan harga.

Menurut bank pusat masih wujud risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah, termasuk daripada faktor-faktor dalam negara antaranya kelemahan dalam sektor berkaitan komoditi dan kelewatan pelaksanaan projek.

BNM berkata bagaimanapun bagi 2020, pertumbuhan dijangkakan bertambah baik secara beransur-ansur, dengan sokongan perbelanjaan isi rumah dan sektor luaran.

Nur Raisah berkata mengikut pandangan mereka, pertumbuhan dijangkakan perlahan kepada 4.1 peratus tahun ini daripada jangkaan 4.4 peratus yang dibuat tahun lepas memandangkan pertumbuhan penggunaan swasta, yang menjadi pemacu utama pertumbuhan sejak 2018, berkurangan dengan ketiadaan pemindahan fiskal kepada isi rumah.

“Oleh itu, kami menjangkakan BNM kekal bertahan sepanjang 2020 susulan langkah pengurangan kadar dasar awal hari ini dengan cenderung kepada kadar yang stabil dan lebih rendah bagi jangka sederhana,” katanya dalam nota kepada Bernama.

Dalam konteks itu, beliau berkata, tindakan dasar selanjutnya mungkin akan bergantung kepada data.

Senada dengannya, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat BNM amat menyedari perkembangan luaran dan akan bergantung kepada data seperti perdagangan, sentimen perniagaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk menentukan tindakan seterusnya.

“Buat masa ini, kami menjangkakan bank pusat akan mengekalkan OPR semasa sepanjang tahun ini tertakluk kepada prospek ekonomi yang semakin berkembang di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, jika data menunjukkan lebih buruk, maka BNM mungkin mengurangkan lagi kadar itu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata dalam mengikuti trend itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, BNM dilihat selesa dengan strategi “lakukan sekali dan kemudian tidak lagi” apabila melaraskan OPR.

“Selagi risiko luaran kekal suram, kadar faedah penanda aras Malaysia dijangka terus dikekalkan pada kadar 2.75 peratus sepanjang 2020,” katanya.

Mengenai ringgit, Tan menekankan bahawa unit tempatan masih dijangkakan terus kukuh, seiring dengan kebanyakan mata wang serantau, berbanding dolar AS, memandangkan ekonomi Asia berada di peringkat pemulihan disokong oleh situasi ekonomi global yang bertambah baik sepanjang tahun ini.

“Paras sokongan jangka pendek bagi ringgit berbanding dolar AS boleh dilihat sekitar 4.05, dengan sokongan lebih kukuh untuk mencecah paras psikologi 4.00,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast