Pengarah Kesihatan Negeri JKWPKL&P, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk Misoprostol itu dirampas dalam operasi khas pada Selasa dan Rabu lepas yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKWPKL&P.
Menurutnya, Misoprostol yang pernah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk merawat ulser perut atau gastrik merupakan ubat terkawal di bawah Akta Racun 1952 yang penggunaannya memerlukan pemantauan pengamal perubatan berdaftar, bagaimanapun pendaftarannya dibatalkan pada November 2016 kerana ia sering disalah guna untuk tujuan pengguguran janin.
Beliau berkata, dalam satu operasi, 20 pegawai farmasi daripada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berjaya mengesan dan mengambil tindakan ke atas dua individu yang menjalankan penjualan Misoprostol secara dalam talian dan membuat penghantaran kepada pembeli secara bayar tunai semasa penghantaran (COD).
Dalam operasi berasingan, serbuan dijalankan terhadap dua premis yang menjalankan perniagaan menjual beg dan pakaian serta salun rambut di sebuah kawasan pasar raya terkemuka, yang didapati menjual Misoprostol secara tertutup kepada warga asing, katanya.
Kemudiannya, serbuan dilakukan ke kediaman pemilik peniagaan terbabit (pemilik sama menjual beg dan salun rambut) itu yang dijadikan sebagai tempat simpanan beberapa jenama produk yang mengandungi racun Misoprostol.
“Keseluruhan produk yang mengandungi Misoprostol dirampas adalah sebanyak 1,430 biji yang dijual dengan harga RM175 sebiji.
“Turut dirampas dalam operasi itu adalah produk tidak berdaftar yang lain seperti ubat antibiotik, antifungal, ubat tahan sakit dan suplemen kesihatan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM253,520,” kata Dr Param Jeeth Singh.
Beliau berkata antara kesan sampingan Misoprostol adalah kekejangan, cirit-birit, loya, muntah, sakit perut, ruam, pening kepala, pendarahan tidak normal dan peningkatan pengecutan otot rahim.
“Wanita mengandung tidak dibenarkan mengambil ubat ini tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar kerana ia boleh menyebabkan keguguran, bayi cacat jika kandungan gagal digugurkan, jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat,” katanya.
Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama, katanya.
Ia boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk berkenaan. – Bernama