Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata, kes kematian bagi jangkitan koronavirus telah meningkat kepada 25 orang dan bilangan kes yang disahkan positif  virus itu melonjak 830 kes.

Vietnam menjadi negara terbaru kes koronavirus dengan dua kes.

“Ia menjadikan tiga negara di Asia Tenggara telah dijangkiti virus itu selepas Thailand dengan 4 kes dan Singapura satu kes,” kata KKM di Twitter.

Dalam pada itu, KKM akan memperketatkan saringan kesihatan di pintu-pintu masuk antarabangsa – di darat, udara dan laut di negara ini.

Ia dijalankan dengan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambah KKM, 26 hospital di seluruh negara telah bersiap sedia menerima kes-kes disyaki koronavirus.

Malah, orang ramai turut dinasihat menangguhkan perjalanan ke Wuhan.

Untuk rekod, selepas Wuhan, dua lagi bandar berhampiran telah dikuarantin iaitu Huanggang yang melibatkan tujuh juta penduduk dan Ezhou dengan satu juta penduduk. -MalaysiaGazette