Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (lima kiri), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat kanan) bergambar pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur & Selangor (DPCKLS), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Visa 15 hari yang diperuntuk kerajaan kepada pelancong China ke negara ini akan diteruskan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun negara ini berdepan dengan ancaman penyakit koronavirus, kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggalakkan memakai topeng muka jika perlu.

Tambahan pula katanya, kerajaan China juga sekarang ini tidak menggalakkan rakyat mereka keluar masuk ke negara lain bagi mencegah penyakit itu merebak.

“Di Wilayah Wuhan misalnya, 11 juta rakyatnya dikuarantin, tidak boleh keluar dan masuk. Begitu juga rakyat Malaysia, kalau boleh berhati-hati melawat negara itu atau batalkan saja sehingga keadaan kembali pulih.

“Kita pula mengambil langkah menggiatkan pencegahan termasuk mengadakan saringan di semua pintu masuk utama negara ini sebagai usaha menggelakan virus ini tersebar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Selangor hari ini.

Mahathir berkata, setiap pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring secara rapi supaya mereka tidak membawa virus itu.

Beliau kemudian menasihatkan rakyat Malaysia agar jangan memandang remeh dengan penykit berjangkit dari negara China itu kerana virus berkenaan terlalu mudah menjangkiti dan membawa kematian.

“Penyakit ini boleh berjangkit dan merebak hanya melalui sistem pernafasan, terutama jika berada dalm kelompok ramai.

“Setakat ini tiga individu dari China telah dimasukkan ke hospital kerana disahkan terkena koronavirus.

“Mereka akan dipantau supaya tidak menjadi sakit yang teruk dan waktu ini masing-masing masih di peringkat awal jangkitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast