Pesawat Air India. foto News 18

NEW DELHI – Kerajaan India akan menjual 100 peratus Air India untuk keluar daripada perniagaan yang mencatat kerugian besar.

Pembida mempunyai sehingga 17 Mac untuk mengemukakan tawaran masing-masing, menurut dokumen penjualan yang dikeluarkan pada Isnin.

Usaha kerajaan untuk menjual 76 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan negara itu pada 2018 dihentikan setelah gagal menarik minat pelabur.

Ditubuhkan pada 1932, Air India mempunyai rangkaian 42 destinasi antarabangsa dan 56 domestik, dengan 13,629 petugas, termasuk 1,884 juruterbang dan 4,028 krew kabin, sehingga November tahun lepas.

Berdasarkan pelan pelupusan itu, kerajaan akan menjual sepenuhnya Air India dan syarikat penerbangan tambang rendah, Air India Express, bersama 50 peratus kepentingan Air India dalam syarikat perkhidmatan kargo dan syarikat perkhidmatan pengurusan darat, Air India SATS Airport Services.

Pemilik baharu perlu mengambil alih kira hutang kira-kira US$ 8 bilion dan liabiliti Air India sebanyak US$3.26 bilion (US$1=RM4.05).

Perniagaan lain kumpulan itu seperti Air India Engineering Services, Air India Air Transport Services, Airline Allied Services dan Hotel Corporation of India tidak terlibat dalam penjualan itu, dan akan dipindahkan menjadi syarikat berasingan yang dikenali sebagai Air India Assets Holding Limited.

— BERNAMA