Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pernah dikecam kerana membuat kenyataan peristiwa Lahad Datu adalah sandiwara.

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan semalam yang menggantungkan sementara semua kemudahan imigresen kepada warganegara China khususnya dari Wuhan dan Hubei tidak membabitkan jumlah yang besar.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi sebaliknya menegaskan, tindakan itu hanya membabitkan kira-kira 800 pelancong atau satu peratus daripada populasi penduduk di Wuhan, China.

“Kalau kita bercakap tentang rakyat Wuhan saja, ada 8 juta populasi di situ, saya fikir yang terkesan hanya 800 orang saja atau 1 peratus saja.

“Kita tak boleh cakap kejatuhan yang besar (pelancong China) pada masa ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas dan sesi taklimat mengenai wabak koronavirus bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Mohamaddin menegaskan, pihaknya tidak perlu melakukan langkah berjaga-jaga di tempat-tempat di negara ini.

“Dia orang sudah periksa, mereka ini orang sihat.

“Orang sihat saya tak fikir mereka boleh sebarkan wabak ini.

“Saya tidak fikir ada langkah berjaga-jaga untuk itu, kita sudah cek, mereka (pelancong China) sihat,” katanya.

Katanya lagi, kawalan kesihatan diragui susulan penularan berita tidak benar hingga menimbulkan panik dalam kalangan rakyat.

“Yang menjadi masalah kepada kita ini ialah penyebaran berita-berita palsu yang menakut-nakutkan.

“Mungkin ada agenda, supaya agenda negara gagal yang tak merasa dirinya sebagai orang Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast