Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tiga kanan) serta yang lain menyaksikan menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) di antara Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (dua kiri) dan Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Sharif (dua kanan) pada Majlis Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank : Program Memperkasakan B40 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Petronas menyediakan pelaburan sebanyak RM100 juta kepada Agrobank untuk bagi pembangunan usahawan tani B40 dalam tempoh lima tahun.

Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, dana itu akan diuruskan oleh bank berkenaan untuk program-program pembiayaan mikro melalui syarikat utama.

“Pemeteraian kolaborasi strategik antara Agrobank dan Petronas pada hari ini juga adalah bukti kesungguhan bagi memulakan tahun 2020 dengan hasrat murni iaitu memperkasakan kumpulan B40,” katanya semasa berucap di majlis pemeteraian perjanjian pembiayaan mikro di antara Petronas dan Agrobank di sini hari ini.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd. Shariff manakala Petronas diwakili Naib Presiden Eksekutif dan Kerua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahudin Ayub, Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Tambah Khadijah, ketika ini, Agrobank mempunyai lebih daripada 11 program pembiayaan di seluruh negara meliputi aktiviti antaranya pembenihan jelapang padi, tanaman cili fertigasi, kelapa sawit, lembu tenusu, nenas dan burung walit.

Melalui kerjasama di antara Petronas dan Agrobank itu, pembiayaan boleh diberikan sehingga 100 peratus daripada keseluruhan kos operasi dengan kadar keuntungan bank terendah iaitu dua peratus setahun.

Selain itu, ia mensyaratkan setiap peserta mesti berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai  rekod perniagaan sekurang-sekurangnya enam bulan.

Dalam pada itu, Salahuddin  ketika ditanya mengenai kaedah untuk memastikan ketelusan dana berkenaan disalurkan berkata, pihaknya akan meminta Agrobank untuk memberi taklimat setiap bulan semasa mesyuarat pasca-kabinet.

“Saya kena pastikan (dana diurus dengan telus), mungkin sebulan sekali Agrobank kena lapor dalam mesyuarat pasca-kabinet terus kepada saya.

“Ini penting supaya pergerakan ini dapat dipantau,” katanya.

Salahuddin berharap supaya lebih banyak kolaborasi boleh dilakukan Petronas dengan agensi-agensi lain bagi membangunkan industri pertanian di negara ini.-MalaysiaGazette