Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) menunjukkan status terkini pada Sistem Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan (MyCPRC) selepas hadir mendengar taklimat perkembangan terkini Kluster 2019-nCoV dan penularan wabak koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri akan dipertanggungjawabkan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang kini berada dalam wilayah Wuhan dan Hubei, China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk China.

“Kementerian Luar Negeri akan bawa balik rakyat Malaysia di Wuhan,” katanya pada sidang media di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Setakat jam 2 petang hari ini, sebanyak tujuh kes telah disahkan positif jangkitan koronavirus dan kesemua kes itu terdiri daripada warganegara China.

Manakala 85 kes di bawah pesakit sedang disiasat di mana 74 negatif dan lapan kes lagi menunggu keputusan.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia tidak akan melanjutkan tempoh lawatan atau visa pelancong China yang sudah berada di negara ini.

“Tak boleh (lanjut tempoh visa di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, semua pelancong sama ada warganegara mahupun bukan warganegara yang dijangkiti sebarang wabak akan dirawat terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.

“Sesiapa saja sakit bukan saja koronavirus akan dirawat sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette