Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan jumlah pendapatan daripada segmen bukan tambang meningkat kepada 30 peratus pada 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kamarulzaman Zainal.

Beliau berkata, pada masa ini jumlah pendapatan daripada segmen tersebut merangkumi tiga peratus daripada jumlah pendapatan KTMB.

Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan kepada segmen bukan tambang untuk memacu pertumbuhan syarikat itu pada tahun ini berikutan pertumbuhan pendapatan daripada segmen tambangnya dijangka mendatar.

“Antara segmen bukan tambang yang akan diberi perhatian ialah aktiviti pengiklanan dan perniagaan sewa jentera untuk penyelenggaraan trek kereta api.

“KTMB juga akan melihat peluang dari segi pendapatan melalui latihan yang disediakan di Akademi KTMB (MyRA) di Batu Gajah, Perak dan perkhidmatan katering dalam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta dalam servis tren lain.

“Kita juga mungkin melihat dari segi penyewaan mesin-mesin yang ada di bawah inventori KTMB seperti mesin penyelenggaraan trek,” katanya pada sidang media sempena 100 hari memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018 yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas, kerugian terkumpul KTMB sehingga 31 Dis 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

Penemuan audit mendapati kerugian itu antaranya kerana KTMB masih belum bebas sepenuhnya untuk membuat keputusan terutamanya berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Audit turut mendapati kebergantungan KTMB sepenuhnya hanya kepada hasil tambang rel secara tidak langsung menyumbang kepada kedudukan kewangan yang kurang stabil.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata KTMB akan memperkenalkan sistem transaksi tanpa tunai secara menyeluruh untuk semua urusan pembelian tiket bermula pertengahan tahun depan.

Katanya pihaknya sedang berbincang dengan penyedia-penyedia e-dompet utama negara untuk mengenal pasti sistem yang sesuai.

“Inisiatif tanpa tunai ini akan membantu operasi supaya berjalan dengan lebih lancar dan memudahkan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan kami.

“Buat masa ini, inisiatif tanpa tunai hanya melibatkan Kad Komuter Link dan Touch n Go, dan ia hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan transaksi penjualan tiket,” katanya. – MalaysiaGazette