KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyelar kenyataan Muhammed Yusoff Rawther yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara kerana gagal mengambil tindakan terhadap laporan polis yang dibuat keatas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islah, Mohd Effendi Mat Aris berkata, kenyataan Yusoff terhadap pihak berkuasa itu mengenai isu serangan seksual terhadapnya boleh mengugat ketenteraman awam.

“Kenyataan Yusoff yang kononnya menuduh institusi PDRM dan Pejabat Peguam Negra telah gagal dalam mengambil tindakan terhadap laporan polis yang dibuatnya sebelum ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kita sedia maklum dengan tuduhan Yusoff sebelum ini yang telah mencela dua pemimpin parti PKR yang berniat jahat dan berbaur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Effendi berkata, rasa tidak puas hati Yusoff terhadap hasil siasatan itu telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap PDRM dan Pejabat Peguam Negara.

“Tindakan ini boleh mengugat keharmonian negara kerana jika rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi kerajaan dan badan kehakiman negara.

“Islah mewakili suara reformasi dalam membela kebajikan rakyat setempat melalui kerjasama dengan badan kerajaan dan pemimpin,” katanya lagi.

Yusoff sebelum ini kecewa dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 14 Januari lalu yang menyatakan bahawa tidak akan mendakwa seorang ahli politik yang dinamakan dalam satu kes serangan seksual, atas alasan, tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah pada tarikh sama berkata, pihaknya mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

Pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu ditutup dan penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya terdapat keterangan baru. – MalaysiaGazette