KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kertas siasatan dibuka berkaitan penyebaran khabar angin serta berita tidak benar di laman sosial berhubung penularan novel coronavirus (2019-nCoV).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, kes tersebut melibatkan penyebaran maklumat yang ditularkan di laman Facebook berhubung beberapa insiden yang cuba dikaitkan dengan wabak berkenaan.
“Adalah ditegaskan, tindakan mana-mana pihak yang ingin menjadi “jaguh” di internet mahupun laman sosial dengan penyebaran kenyataan tidak sahih berkait isu ini akan mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan Tidak Wajar Kemudahan Rangkaian) dijalankan.
“Pihak PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati dengan sengaja mensesasikan isu berkait virus ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Huzir berkata, tidak dinafikan isu tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Namun katanya, pihak kerajaan juga sedang mengambil langkah bagi menangani masalah berkenaan dengan sewajarnya.
Justeru kata beliau, PDRM menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel atau kenyataan tidak sahih atau tidak tepat mengenainya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan perkembangan terkini dengan merujuk laman web Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih. – MalaysiaGazette