KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd dijangka pulih dan kembali mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat selepas mengumumkan kenaikan kadar pos, menurut RHB Investment Bank.

Kumpulan pos itu dalam pengumumannya semalam menyatakan bahawa semakan semula kadar itu akan menjejaskan pelanggan komersial dengan kadar setem untuk mel komersial meningkat kepada RM1.30 (daripada RM0.60) manakala kadar untuk pengguna mel dan bukan komersial tidak berubah pada RM0.60.

Kadar baharu itu berkuat kuasa pada 1 Februari 2020.

“Susulan semakan semula kadar itu, kami menjangkakan Pos Malaysia akan kembali mencatat keuntungan dalam unjuran tahun kewangan 2021 (FY21F), didorong oleh pulangan pendapatan dalam perkhidmatan pos dan perniagaan antarabangsa, yang mencatatkan kerugian mengikut segmen masing-masing sebanyak RM115.7 juta dan RM16 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020,” menurut bank pelaburan itu dalam notanya.

Ia percaya impak penurunan jumlah mel tidak melebihi trend semasa, berdasarkan kos asas yang secara relatifnya minimum bagi pelanggan komersial.

RHB Investment juga nampak prospek Pos Malaysia untuk kembali membayar dividen mulai FY21F dan seterusnya (FY19:4 sen).

Bank itu menaikkan saranan ke atas Pos Malaysia kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ pada harga sasaran RM1.70 daripada RM1.40.

Sementara itu, AmInvestment Bank menaikkan saranan ke atas kaunter itu kepada ‘simpan’ daripada ‘jual’ dengan nilai saksama RM1.34 daripada RM1.27.

“Kami kini mengunjurkan Pos Malaysia mencatatkan kerugian bersih yang lebih kecil sebanyak RM9.6 juta pada FY20F dan keuntungan bersih RM9.8 juta dalam FY21F berbanding kerugian bersih sebanyak RM69.1 juta dan RM45.5 juta sebelum ini, berikutan peningkatan pendapatan daripada perkembangan terkini.

“Bagaimanapun, kami percaya peningkatan pendapatan pos yang lebih tinggi itu akan merosot susulan pelaksanaan pendigitalan mel fizikal, menyebabkan penguncupan jumlah mel, operasi yang lebih agresif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pos,” katanya.

Pada 12.08 tengah hari, saham Pos Malaysia meningkat enam sen kepada RM1.50 dengan 10.33 juta saham didagangkan. – MalaysiaGazette