Mujahid Mohd Yusof berucap di  Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia dalam majlis perasmian buku Jenayah dan Hukuman Dalam Undang-Undang Islam oleh Prof Mohamed Hashim Kamali.

KUALA LUMPUR – Jabatan di Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama tiada kuasa untuk memberi keizinan atau menghalang pelancong asing khusus China daripada menziarahi masjid di negeri-negeri lain.

Menterinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, walaupun kerajaan telah mengarahkan agar halangan itu ditarik balik, namun ia hanya termaktub di bawah Wilayah Persekutuan.

“Masjid ini ada dua jenis iaitu Masjid Pelancongan, yang duduk di bawah Wilayah Persekutuan semua akan merujuk kepada saya.

“Jadi saya akan tahu kenapa dan apa alasan-alasannya (ditutup)

“Setakat ini saya tak dengar lagi (masjid tutup kepada pelancong) sebab kita sudah keluarkan satu keputusan.

“Negeri lain saya tidak tahu, saya tiada kuasa untuk tutup atau buka,” katanya kepada pemberita di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu Mujahid merasmikan buku Jenayah dan Hukuman Dalam Undang-Undang Islam oleh Prof Mohamed Hashim Kamali.

Selasa lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mengarahkan pusat-pusat pelancong di negara ini termasuk Masjid Putra agar tidak menghalang pelancong asing khususnya China membuat lawatan.

Menurut Mohamaddin, hanya pelancong yang sihat sahaja dibenarkan melancong ke negara ini dan tidak wajar mereka dihalang untuk melawat tempat-tempat menarik di negara ini.

Dalam pada itu, Mujahid menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pelancong asing melawat pusat-pusat pelancongan termasuk masjid meskipun negara sedang berdepan dengan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

“Tidak ada masalah sebab perkara ini telah dibincangkan dan kita telah dimaklumkan ianya telah dibuka dengan sebab sudah ada satu mekanisme bagi mengenal pasti secara rambang siapa yang terlibat dalam kes itu.

“Saya harapkan ia tidak menghalang pelancong luar dan asing untuk menziarah masjid-masjid yang indah termasuk Masjid Putra selagi benda itu dapat terkawal dan tidak membahayakan orang ramai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette