Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkuatkuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, Hasnol Zam Zam berusia 53 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perancangan Bandar dari Universiti Utah serta Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat mampu menggalas tanggungjawab.

Beliau turut memiliki pengalaman berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Datuk Hasnol Zam Zam mampu meneraju pentadbiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam merealisasikan hasrat Kementerian menjadi Caring Ministry yang memfokuskan kepada perdagangan domestik sebagai tunjang ekonomi berpendapatan tinggi demi kemakmuran Negara.

Mohd Zuki berkata, Hasnol Zam Zam turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang perancangan, pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan dasar serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) di Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, beliau juga katanya pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette