Pelancong memakai penutup mulut dan hidung sebagai salah satu langkah pencegahan jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2020

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa sebagai kecemasan kesihatan global.

Perkara berkenaan diumumkan WHO selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat pertubuhan itu di Geneva pada Khamis.

Ini berikutan kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu.

Badan Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan kecemasan global sebagai peristiwa luar biasa yang merupakan risiko kepada negara-negara lain dan memerlukan koordinasi tindak balas global.

Sebanyak 22 negara telah melaporkan mempunyai kes koronavirus dengan para saintis ketika ini sedang membuat kajian untuk memahami cirinya dan bagaimana ia tersebar. Pakar berkata terdapat bukti signifikan jangkitan manusia ke manusia.

Virus yang tersebar di China terutama di pusat epidemik Wuhan itu turut mencetuskan kebimbangan dunia susulan kes jangkitan yang dikesan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Jerman, Kanada dan Vietnam.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengakui terdapat kebimbangan meluas terhadap penyebaran virus antara manusia di luar China.

Katanya, sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana ia berlaku di China namun apa yang berlaku di negara lain. Kebimbangan WHO adalah potensi virus berkenaan tersebar di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menanganinya. – Awani