KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan serangan sekumpulan individu yang bersifat gangster terhadap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Setiausaha PH, budaya gangster itu tidak dapat diterima kerana mengacau ganggu kesejahteraan rakyat.
“Sewajarnya budaya politik samseng tidak lagi mempunyai tempat di era Malaysia Baharu ini.
“Budaya politik samseng adalah tinggalan purba rejim lama yang seharusnya ditolak, apatah lagi setelah masuk ke tahun 2020,” katanya kenyataan itu.
Majlis Setiausaha PH dianggotai Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Oleh yang demikian, keempat-empat mereka mendesak agar pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap insiden yang menimpa Menteri Belia dan Sukan itu di Ulu Tiram, Johor
semalam.
“Pihak polis harus segera menjalankan sisatan ke atas pihak yang bertanggungjawab mendalangi kacau ganggu tersebut supaya mereka segera diberkas dan dibawa ke muka pengadilan,” kata mereka.
Syed Saddiq bersama beberapa pemimpin lain terpaksa melarikan diri dengan mengikuti jalan tikus dan melompat pagar selepas perhimpunan tertutup yang dihadirinya diganggu sekumpulan gangster upahan.
Ahli Parlimen Muar itu mendakwa kumpulan gangster berpakaian serba hitam itu telah bertindak mengepung tempat pertemuan, memekik kata-kata kesat dan insiden tersebut turut disaksikan oleh ibu bapanya yang turut hadir. – MalaysiaGazette