Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Khairil Nizam Khirudin bercakap pada sidang media Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) selepas selesai mesyuarat bulanan DPPM di Hotel EDC Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menolak sekeras-kerasnya cadangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diajukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin mempersoalkan niat sebenar Dr Mahathir dengan mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak memperkasakan dahulu subjek Bahasa Inggeris sebelum membuat cadangan pelaksanaan semula PPSMI.

“Kita tegaskan konsisten tidak setuju dengan PPSMI.

“Kalau nak perkasakan bahasa Inggeris, kenapa tidak perkasakan subjek Bahasa Inggeris sendiri,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Khairil Nizam berkata demikan bagi mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mahu pengembalikan semula PPSMI yang dilihat sebagai penggalak kepada penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan semalam menekankan pentingnya menguasai Bahasa Inggeris dan menambah bahawa kedua-dua mata pelajaran itu bukan ‘asal’ kepada Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Khairil menegaskan, sekiranya PH mahu melaksanakan semula PPSMI, kerajaan digesa melihat prasarana di sekolah-sekolah luar bandar terlebih dahulu.

Katanya, kebanyakan sekolah luar bandar memerlukan kemudahan internet sebagai alat bantuan mengajar bagi merialisasikan impian Dr Mahathir itu.

“Kita harapkan pertama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk perkasakan prasarana. Kalau boleh semua sekolah di luar bandar dapat,” katanya.

Malah, kerajaan juga dinasihatkan untuk mengkaji subjek Bahasa Inggeris sekiranya mendapati pelajar sukar menguasainya.

“Kalau penguasaan rendah, kaji balik kenapa dan apa menyebabkan perkara itu berlaku.

“Selain dapat kaji, dapat tambah peluang pekerjaan sebab kerajaan perlu tunaikan janji manifestaso PH sebelum ini,” katanya lagi.

PPSMI dimansuhkan mulai 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah Malaysia.

Pemansuhkan itu diumumkan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa, cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan di Malaysia. -MalaysiaGazette