JERMAN – Dua pemain remaja sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho dan Erling Braut Haaland telah mencipta sejarah masing-masing selepas membantu pasukan mereka menang mudah ke atas Union Berlin.
Pemain England, Sancho menjadi remaja pertama menjaringkan 25 gol di Bundesliga selepas bola rembatan beliau terbias sebelum menerjah jaring.
Haaland kelahiran Norway pula menjadi pemain pertama yang menghasilkan tujuh gol dari tiga perlawanan pertama di Bundesliga.
Pemain berusia 19 tahun itu yang tiba dari Red Bull Salzburg telah menjaringkan lima gol dari dua penampilan di Jerman, kedua-duanya sebagai pemain gantian.
Kali ini Haaland diberikan peluang untuk membarisi kesebelasan utama.
Lebih menarik, Haaland kini sudah tersenarai sebagai 10 penjaring gol terbanyak di Bundesliga walaupun hakikatnya hanya telah beraksi selama 136 minit.
Dortmund kini terus memberi tekanan kepada Bayern Munich dan Red Bull Liepzig yang berada di kedudukan teratas dan kedua Bundesliga.
Kelab itu hanya dipisahkan dengan tiga mata selepas 20 perlawanan oleh Bayern. – MalaysiaGazette