SINGAPURA – Harga minyak terus menurun dalam dagangan hari ini disebabkan kebimbangan permintaan rendah oleh China yang diserang oleh wabak koronavirus.

Harga dagangan minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) susut untuk minggu keempat berturut-turut selepas kebanyakan syarikat penerbangan membatalkan laluan ke China.

Rangkaian bekalan merentasi ekonomi kedua terbesar dunia itu telah terjejas.

Minyak mentah Brent didagangkan pada harga AS$55.83 setong pada 0047 GMT, susut AS$0.79 atau 1.4% selepas rugi hampir 12% pada bulan Januari, penurunan paling ketara sejak November 2018.

WTI pula susut AS$0.50 kepada AS$51.06 setong, selepas mencecah sesi rendah kepada AS$50.42 setong.

Harga hadapan WTI susut 15.6% pada bulan Januari, kejatuhan terbesar sejak bulan Mei.

Aktiviti kilang di China terhenti pada bulan Januari berikutan pesanan eksport jatuh manakala penganalisis menjangkakan penurunan besar dalam data bulan Februari apabila wabak koronavirus menjejaskan permintaan di China walaupun Bank Pusat merancang untuk menyuntik lebih banyak kecairan bagi merangsang ekonomi.

“Penutupan lapangan terbang menunjukkan akan wujud penangguhan permintaan, jika tidak ditangguhkan atau terjejas,” kata Michael McCarthy, Ketua Strategi Pasaran CMC Markets yang berpangkalan di Sydney. – MalaysiaGazette