Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengenakan sekatan ke atas 147 rakyat dari Wuhan dan Hubei, China dari memasuki negara ini berikutan wabak koronavirus.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan itu dikenakan bermula 27 Januari lalu hingga semalam melibatkan pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Langkawi, Kota Kinabalu, Sandakan, KLIA, klia2, Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Tawau.

Pintu masuk darat dan laut pula ialah Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Bukit Kayu Hitam, Sipitang, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kota Kinabalu dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Sepanjang tempoh lapan hari penguatkuasaan itu,  pihaknya merekodkan larangan ke atas tiga rakyat dari Wuhan dan Hubei yang memasuki Malaysia menerusi LTA Langkawi, diikuti LTA Kota Kinabalu (4), LTA Sandakan (6), LTA Pulau Pinang (9), KLIA (1), KLIA2 (14) dan LT Tawau (5).

Pintu masuk utama Bukit Kayu Hitam pula seramai seorang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, diikuti KSAB (30), Pelabuhan Klang (55), Pelabuhan Kota Kinabalu (3), Pelabuhan Tanjung Pelepas (4) dan Sipitang (1).

Kata beliau, larangan itu masih lagi berkuatkuasa sehingga pihaknya menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapat maklum balas dari Kementerian Kesihatan mengenai keadaan terkini wabak koronavirus.

“Larangan ini kita akan teruskan. Ada rakyat Malaysia bertanya kenapa kita tidak sekat seratus peratus kemasukan pengunjung dari China, walaupun pihak WHO keluarkan kenyataan mengenai wabak itu.

“Bagaimanapun, WHO tidak minta kita halang semua. Kami dari KDN dan JIM buat keputusan berpandukan maklum balas dari Kementerian Kesihatan. Kalau kementerian ini kata perlu kawal (menyeluruh), kita gunakan kuasa Akta Imigresen untuk membuat sekatan secara menyeluruh.

“Setakat ini, penguatkuasaan masih kekal kepada mereka yang positif koronavirus dan kita tunggu sehingga ada isyarat dari Kementerian Kesihatan bahawa wabak ini dianggap lebih merbahaya, maka barulah kita laksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Muhyiddin berkata, sehingga hari ini kementeriannya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan tidak perlu mengenakan sekatan menyeluruh kerana jumlah yang dikuarantin hanya lapan orang sahaja.

“Tapi kami sentiasa bersiap siaga. Kalau dianggap perlu disekat, bila-bila masa saja kita kuatkuasakan sekatan menyeluruh. Sekarang pun kita boleh kuatkuasakan sebab kuasa ada pada JIM.

“Namun, di bawah susunan punca kuasa sekarang ini, kita tidak boleh bertindak secara berasingan, mesti ada kesefahaman dan keputusan bersama dengan Kementerian Kesihatan.

“Kementerian ini yag jadi penentunya sebelum kita kenakan sekatan atau tarik balik sekatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast