Datuk Saifudin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.

BENTONG – Kerajaan hari ini bersetuju untuk membawa pulang staf tertentu Wisma Putra dan agensi kerajaan lain yang berada di China bersama pasangan dan tanggungan mereka ekoran penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata mereka akan dibawa balik dengan menggunakan penerbangan komersial secara berperingkat secepat mungkin dan diharap ia dapat dilaksanakan mulai minggu hadapan bergantung kepada penerbangan yang masih ada.

Selain pejabat kedutaan di Beijing, Saifuddin berkata Malaysia juga mempunyai konsulat di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an selain Taipei dengan jumlah pegawai Wisma Putra seramai 34 orang dan 77 orang tanggungan.

Sementara itu, jumlah pegawai agensi kerajaan yang berada di China seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Tourism Malaysia ialah seramai 52 orang dengan 135 tanggungan.

“… daripada angka itu, kita akan menilai berapa orang (pegawai) yang perlu tinggal dan berapa yang akan dibawa balik kerana kita akan meninggalkan jumlah pegawai sama ada dari Wisma Putra atau agensi yang hanya betul-betul diperlukan buat masa ini.

“Untuk pasangan dan anak-anak, kita berhasrat untuk bawa pulang secepat mungkin. Tindakan ini tidak akan menjejaskan kerja di sana kerana banyak bandar yang disekat pergerakan keluar masuk, menyebabkan sesetengah kerja tidak dapat dibuat… yang menjadi pertimbangan siapa yang akan dibawa pulang,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sepakat@Komuniti Sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Kampung Batu Satu di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa.

Beliau berkata selain faktor keselamatan, keputusan membawa pulang itu juga dibuat atas pertimbangan sekiranya berlaku keadaan terputus bekalan makanan jika situasi itu berlanjutan, walaupun setakat ini, bekalan masih mencukupi selain kerajaan juga akan menghantar makanan ke sana.

“Mereka yang dibawa pulang perlu menjalani proses sama seperti sebelum ini, iaitu proses saringan di China sebelum menaiki pesawat dan sekali lagi disaring di Malaysia serta dikuarantin kerana ia juga dilaksanakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Mengulas mengenai 34 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan kerana tidak dapat menaiki pesawat semalam atas faktor logistik, Saifuddin berkata keutamaan masih diberikan untuk membawa mereka pulang dan pihaknya telah berhubung dengan perwakilan Malaysia di sana.

Ditanya jika ada perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah lain di China, Saifuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana ia melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih 30,000 orang selain ada yang kini tidak dapat bergerak bebas.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast