PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengarahkan semua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah dan mengawal penularan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, ia bagi memastikan kebersihan dan keselamatan terminal-terminal pengangkutan kebersihan dijaga termasuk menyediakan sanitizer.
“Saya telah mengarahkan semua agensi di bawah MOT untuk mengambil langkah berjaga-jaga khususnya di terminal pengangkutan awam seperti bas.
“Terminal kapal terbang pula, pelbagai langkah kesihatan dan kebersihan telah pun diambil.
“Kita meminta operator ini menyediakan sanitizer dan memastikan kebersihan tempat-tempat awam itu sentiasa terjaga,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di sini, hari ini.
Beliau mengulas langkah yang diambil oleh Rapid KL untuk mencegah penularan wabak koronavirus di terminal bas miliknya di depoh Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, Balakong, Jumaat ini.
Dalam operasi itu, Rapid KL juga akan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kapten-kapten bas serta melakukan pembersihan di luar dan dalam bas.
Selain bas, Rapid Rail juga melaksanakan langkah sama di semua pengangkutan awam di bawah termasuk LRT dan MRT.
Dalam pada itu, Anthony Loke juga menegaskan semua operator termasuk pihak swasta perlu mengambil langkah sama dan bertanggungjawab terhadap tahap keselamatan serta kebersihan terminal masing-masing.
“Pihak swasta, mereka juga ada tanggungjawab untuk memastikan (kebersihan dan keselamatan) sebab ada terminal di bawah pihak swasta.
“Mereka juga perlu mengambil langkah-langkah menyediakan senitizer, memastikan kebersihan tempat mereka sentiasa dijaga.
“Kalau kita nak mencegah virus dan wabak ini daripada menular, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab. Setakat ini kita menerima kerjasama yang baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette