Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengarahkan semua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah dan mengawal penularan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, ia bagi memastikan kebersihan dan keselamatan terminal-terminal pengangkutan kebersihan dijaga termasuk menyediakan sanitizer.
“Saya telah mengarahkan semua agensi di bawah MOT untuk mengambil langkah berjaga-jaga khususnya di terminal pengangkutan awam seperti bas.
“Terminal kapal terbang pula, pelbagai langkah kesihatan dan kebersihan telah pun diambil.
“Kita meminta operator ini menyediakan sanitizer dan memastikan kebersihan tempat-tempat awam itu sentiasa terjaga,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di sini, hari ini.