Syed Mohammad Faiz Azemmant

KUALA LUMPUR – Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK) menggesa kerajaan mewujudkan akta jenayah dan buli siber bagi mengekang atau sekurang-kurangnya mengelak pembuli bermaharajalela di media sosial.

Gesaan itu dibuat Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant selepas terkesan dengan kes seorang remaja menyamar sebagai pegawai polis, tetapi telah dimaki hamun dan dijatuhkan hukuman oleh ‘hakim’ di media sosial.

Beliau berkata, remaja terbabit yang gambarnya memakai pakaian pegawai polis berpangkat Inspektor telah dikongsi ribuan netizen yang kemudian viralkan di medium sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Remaja itu yang menyamar sebagai “Inspektor Ramdan” telah dibuli habis-habisan oleh netizen tanpa kita ketahui sebab sebenar dia berbuat demikian.

“Belum pun dihadapkan ke mahkamah lagi, remaja itu telah dijatuhi hukuman oleh ‘hakim’ di media sosial dan gambarnya bertebaran di media sosial.

“Jadi, sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan akta jenayah dan buli siber bagi mengenakan hukuman yang ketat dan berat kepada golongan pembuli siber,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Syed Mohammad Faiz, beliau sedih dan kecewa dengan sikap sesetengah warganet yang menyerang remaja itu dengan kata-kata kurang sopan menerusi laman Facebook dan Instagram.

Tegas beliau, siapa kita untuk menjatuhkan hukuman kepada remaja berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan portal Kementerian Kesihatan, buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan.

Portal kementerian itu juga turut memaklumkan, dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsanya membunuh diri.

Melihat peningkatan kes buli siber yang semakin mendadak di negara ini, kerajaan tidak boleh berlengah lagi dan perlu segera mewujudkan akta jenayah dan buli siber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast