KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Zulhasnan Rafique dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin parti.
Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataan sejurus selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, beberapa perkara turut dibincangkan dalam mesyuarat selama empat jam itu yang antaranya menyentuh mengenai Persidangan UMNO Cawangan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Konvensyen UMNO Negeri-Negeri dan Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah diberikan penjelasan terkini oleh Presiden UMNO berhubung situasi politik semasa.
“Presiden telah memberikan pelbagai senario yang berkemungkinan berlaku. Senario-senario tersebut telah dinilai secara bersama dengan PAS dalam semangat Muafakat Nasional,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Annuar, MT UMNO juga berpuas hati dengan penjelasan Ahmad Zahid dan telah memberikan pandangan masing-masing secara terbuka untuk diberi perhatian dan tindakan Presiden.
Katanya, MT UMNO melahirkan rasa bimbang terhadap kedudukan orang Melayu, umat Islam dan rakyat keseluruhannya yang semakin terhimpit berpunca daripada kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan.
Tambah beliau, mesyuarat turut berbincang panjang berkenaan hala tuju dan pendekatan Muafakat Nasional dalam senario politik yang tidak menentu demi memelihara kepentingan rakyat.
“MT UMNO bersetuju untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dengan mempertingkatkan gerak kerjanya bersama Pas terutama dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinan,” tegasnya. – MalaysiaGazette