KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM327.4 juta ekuiti tempatan minggu lalu, aliran keluar untuk minggu ketiga setakat tahun ini.
Para pelabur bimbang dengan ketidaktentuan tinjauan wabak koronavirus dan sejauh mana ia akan menjejaskan ekonomi Asia, menurut MIDF Research, MIDF Amanah Investment Bank Berhad
Situasi itu mempengaruhi aliran keluar sebanyak RM107.2 juta pada hari Isnin, seiring dengan Korea Selatan, Indonesia dan Filipina.
Firma penyelidikan itu berkata, tahap penjualan bersih asing kemudian perlahan hingga AS$57.0 juta pada hari Selasa, menandakan keuntungan pertama bursa selepas 10 hari mengalami kerugian.
Bagaimanapun, aktiviti jualan bersih asing direkodkan sebanyak RM205.4 juta pada hari Rabu meskipun Bank Pusat China menyuntik dana sejumlah AS$57 bilion ke dalam pasarannya untuk mengawal kedudukan kewangan yang akibat daripada kesan penularan virus ini.
MIDF Research berkata, sentimen pada hari Khamis bertambah baik selepas China mengurangkan separuh tarif import Amerika Syarikat yang berjumlah AS$75 bilion.
Oleh itu, Malaysia menyaksikan aliran masuk bersih asing sebanyak RM84.5 juta.
Bagaimanapun, aliran masuk bersih asing berlaku jangka pendek kerana pada hari Jumaat menyaksikan pelupusan dana asing sebanyak RM42.5 juta didorong oleh kebimbangan terhadap koronavirus.
MIDF Research berkata, setakat ini, Malaysia telah menyaksikan aliran keluar sebanyak RM465.7 juta.
Malaysia merekodkan aliran keluar bersih paling rendah berdasarkan tahun ke tahun selepas Thailand dan Filipina.
Dalam terma penyertaan, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing meningkat sebanyak 18% dan masih kekal baik kerana melepasi RM1 bilion. – MalaysiaGazette